Tuesday, September 18, 2012


PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN MUZIK DI SEKOLAH-SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN (TAMIL) SATU RENUNGAN
Oleh
Ariputhiran A/L Narayanan

Latarbelakang Pendidikan Muzik Sekolah-sekolah Tamil
            ‘Pendidikan muzik di sekolah-sekolah Tamil boleh dikatakan juga tidak wujud sama sekali sehingga KBSR diperkenalkan pada tahun 1983. Mungkin hanya nyanyian lagu-lagu keagamaan Hindu diadakan di sekolah-sekolah Tamil yang kebanyakannya terletak di ladang-ladang getah.’ (Johami Abdullah, 1997:8)
            Pendidikan di sekolah-sekolah Tamil amnya boleh dikategorikan kepada tiga era, Iaitu, Pendidikan semasa penjajah British, Pendidikan selepas merdeka era KLSR (1957) dan pendidikan berdasarkan KBSR. Berdasarkan kepada pernyataan di atas, sebelum 1983, iaitu  pada zaman KLSR  pendidikan muzik di sekolah-sekolah Tamil berlaku secara tidak formal.

Sejarah Perkembangan Pendidikan Muzik di Sekolah-sekolah Tamil
            Pendidikan muzik di sekolah-sekolah Tamil pada zaman penjajahan berpusatkan kepada pendidikan di Tamil Nadu, India. Dimana, sukatan pelajaran dan tenaga pengajar daripada India. Sukatan pelajaran pendidikan muzik juga berasaskan kepada sukatan pelajaran Tamil Nadu. Iaitu, murid-murid sekolah Tamil mempelajari muzik Karnatak. Menurut mendiang ayah saya, Encik Narayanan(1932) yang mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Tamil YMHA Taiping, Perak, muzik Karnatak diajar oleh guru muzik Karnatak yang bertauliah daripada India. Lagu-lagu yang dipelajari adalah ‘repertoire’ Karnatak. Ia mengikut tahap-tahap yang tertentu seperti,
i.                    Swarali/sura warisai  iaitu solfa dalam raga
ii.                  Warnam dalam beberapa raga
iii.                Geetham dalam pelbagai raga

Seseorang murid-murid harus belajar tahap pertama dan  lulus tahap pertama iaitu Swarali warisai sebelum mengikuti tahap seterusnya.  Sekolah-sekolah Tamil di bandar dilengkapi dengan guru-guru muzik Karnatak yang terlatih dari India. Murid-murid sekolah Tamil pada zaman ini tidak menerima pendidikan Muzik yang formal yakni muzik barat seperti pada zaman sekarang.
Mengikut informan, (ayah saya) keadaan ini adalah di sekolah-sekolah Tamil bandar sahaja. Sekolah-sekolah Tamil di ladang-ladang getah pada zaman tersebut tidak mendapat pendidikan muzik Karnatak seperti sekolah-sekolah Tamil bandar. Sekolah-sekolah Tamil di ladang-ladang getah ini dalam keadaan seperti yang dikatakan oleh Johami Abdullah (1997:8), ‘Pendidikan muzik di sekolah-sekolah Tamil boleh dikatakan juga tidak wujud sama sekali sehingga KBSR diperkenalkan pada tahun 1983. Mungkin hanya nyanyian lagu-lagu keagamaan Hindu diadakan di sekolah-sekolah Tamil yang kebanyakannya terletak di lading-ladang getah.’
Walaupun pendidikan muzik di sekolah-sekolah Tamil yang berorientasikan pendidikan muzik dari India dan murid-murid berpeluang mempelajari warisan muzik Karnatak yang kaya dengan pelbagai raga tetapi tidak semua murid-murid sekolah Tamil dapat peluang tesebut. Pendidikan muzik pada zaman penjajahan British tidak menyeluruh dan tidak seragam di semua sekolah-sekolah Tamil di Malaysia. Semasa penjajahan Jepun pula, murid-murid sekolah Tamil menerima nasib yang sama dengan murid-murid di sekolah Melayu. Iaitu, dikehendaki menyanyikan lagu-lagu patriotik dan lagu-lagu rakyat Negara Jepun.
Selepas merdeka (1957) senario ini berubah, iaitu, kurikulum yang berorientasikan  keadaan di Tanah Melayu diperkenalkan. Dalam zaman selepas merdeka ini, sekolah-sekolah Tamil mengalami perubahan yang besar dalam matapelajaran-matapelajaran lain. Murid-murid sekolah Tamil belajar Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris selain dari Bahasa Tamil. Pengajaran dan pembelajaran sejarah dan geografi mengikut sukatan pelajaran yang berorientasikan Tanah Melayu diperkenalkan di sekolah-sekolah Tamil. Dalam keadaan ini garis panduan dan situasi pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik di sekolah Tamil tidak dapat dilihat dengan jelas.


Mengikut pengalaman saya sebagai murid sekolah Tamil zaman KLSR (1974-1979), hanya nyanyian kanak-kanak dan beberapa lagu  ‘popular’ Tamil yang mengandungi senikata yang sesuai dengan kanak-kanak diajar oleh guru-guru sekolah Tamil. Beberapa melodi ‘popular’ daripada wayang gambar Tamil yang diubahsuai senikatanya diajar oleh guru-guru sekolah Tamil. Selain itu, lagu-lagu Melayu seperti  Trek tek tek, suri ram dan rasa sayang juga diajar oleh guru-guru sekolah Tamil. Dalam kata lain, murid-murid sekolah Tamil didedahkan sedikit kepada lagu-lagu tradisional Melayu tempatan pada zaman KLSR ini.
Pengajaran dan pembalajarn pendidikan muzik yang tersebut bergantung pada minat dan kemahiran guru-guru di sekolah-sekolah Tamil. Jika terdapat guru yang mempunyai minat dan kemahiran dalam bidang muzik, maka guru tersebut akan mengajar murid-muridnya bernyanyi. Murid-murid sekolah Tamil tidak dapat mempelajari alat-alat muzik seperti kibod, rekorder ataupun alat-alat genderang, mahupun alat-alat muzik tradisional India. Ini kerana tiada peruntukan pendidikan muzik pada zaman tersebut. Pendidikan muzik hanya merupakan aktiviti ko-kurikulum sahaja dan tidak sebagai pendidikan muzik formal.
Menurut Johami Abdullah, (1997:9), “Dengan itu muzik telah diadakan sebagai satu mata pelajaran pilihan dalam peperiksaan SRP pada tahun 1972. Maka, pembelajaran muzik secara formal di sekolah-sekolah di Malaysia boleh dikatakan telah bermula pada tahun 1972 walaupun perkembangan ini telah melibatkan beberapa buah sekolah Bandar yang tertentu sahaja.”
Jadi, pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik pada zaman KLSR juga tidak menyeluruh dan seragam kerana bukan semua sekolah di Malaysia yang mendapat peruntukan dan kemudahan untuk mempelajari muzik secara formal. Keadaan ini berterusan sehinggalah pendidikan muzik diperkenalkan sebagai mata pelajaran wajib di peringkat sekolah rendah pada tahun 1983.
Program pendidikan muzik KBSR telah dilaksanakan di seluuruh negara pada tahun 1983. Ini merupakan satu detik sejarah yang sangat penting bagi pendidikan muzik di sekolag-sekolah Tamil. Dimana, murid-murid sekolah Tamil dapat pendedahan pendidikan muzik secara formal. Semua sekolah Tamil di seluruh Malaysia mendapat peralatan untuk mempelajari muzik secara formal melalui program muzik KBSR ini.

Walaubagaimanapun, menurut Johami Abdullah (1997:11), program ini dinamakan ‘canned music’ atau “muzik dalam tin”. Ini kerana semua perlatan dan alat bantuan mengajar ialah dalam bentuk media elektronik. Iaitu, dalam bentuk kaset! Guru-guru tidak memerlukan kemahiran bermain alat muzik atau menyanyi. Guru hanya berfungsi sebagai ‘media operator’. Beri arahan, masukkan kaset tekan butang ‘play’, lagu dimainkan melalui radio kaset, murid-murid mendengar dan menyanyi.
Selepas  tahun 1983, pelbagai kajian telah dibuat oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dan pihak-pihak yang bertanggungjawab, boleh dikatakan pendidikan muzik  mendapat status seperti mata pelajaran lain di sekolah rendah amnya. Khasnya, sekolah-sekolah Tamil di Malaysia pula dapat menjalankan pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik secara formal.

Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Muzik di Sekolah Tamil.
            Pelaksanaan pendidikan muzik di sekolah Tamil masih menjadi tanda tanya kerana soalan seperti, sejauhmanakah pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik dijalankan di sekolah-sekolah Tamil di Malaysia masih tidak dapat dijawab dengan tepat. Menurut Prof. Madya Zaharul Lailidin dalam suatu perbincangan, persoalan tersebut masih releven walaupun sudah lapuk.
            Pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik di sekolah-sekolah Tamil masih tidak dapat  dijalankan sepenuhnya seperti yang dikehendaki dalam sukatan pelajaran pendidikan muzik sekolah rendah. Kedaan ini masih berterusan kerana beberapa faktor yang masih berterusan dan berleluasa di sekolah-sekolah Tamil di seluruh Malaysia. Menurut Ramona Mohd Tahir,(2003:173),
“Walaupun secara dasarnya, pendidikan muzik di Malaysia telah mengalami perkembangan, perkembangan ini telah berlaku secara perlahan. Terdapat pelbagai isu dan masalah berhubung pendidikan muzik yang perlu ditonjolkan dan dibincang bersama oleh pendidik-pendidik muzik. Antara isu-isu ini adalah kelemahan pelaksanaan mata pelajaran muzik di sekolah-sekolah tempatan, kekurangan bahan, peralatan dan fasiliti untuk mengajar muzik, dan program persediaan guru-guru muzik. Lebiah besar lagi adalah persepsi masyarakat Malaysia amnya, dan masyarakat Melayu khasnya, terhadap muzik – yang mempunyai kesan terhadap status pendidikan muzik di Malaysia.”
                        Penyataan tersebut sesuai untuk sekolah-sekolah Tamil di Malaysia. Terdapat banyak isu-isu yang mempengaruhi pelaksanaan pendidikan muzik di sekolah-sekolah rendah amnya dan di sekolah-sekolah Tamil khasnya. Secara spesifik terdapat beberapa faktor seperti berikut yang mempengaruhi pendidikan muzik di sekolah-sekolah Tamil di Malaysia:
i.                    Kekurangan bahan, peralatan dan fasiliti untuk mengajar muzik.
ii.                  Kompetensi guru-guru yang mengajar muzik di sekolah Tamil.
iii.                Persepsi guru besar dan guru-guru sekolah Tamil terhadap pendidikan muzik.
iv.                Persepsi masyarakat Tamil terhadap pendidikan muzik.

i.                    Kekurangan Bahan, Peralatan dan Fasiliti Untuk Mengajar Muzik.
Kebanyakan sekolah Tamil terletak di luar bandar iaitu di ladang-ladang getah yang dimiliki oleh pihak swasta. Sekolah-sekolah tersebut digelar sebagai ‘sekolah bantuan modal’. Dimana tanah dan bangunan adalah hakmilik persendirian iaitu pihak pengurusan ladang. Ini menyebabkan fasiliti infrastruktur seperti bilik khas untuk pengajaran dan pembelajaran muzik tidak dapat dilaksanakan. Adakalanya kelas-kelas muzik dijalankan di perpustakaan, kantin ataupun di bawah pokok. Jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah-sekolah Tamil jauh ketinggalan dari segi bahan, peralatan dan fasiliti untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik
      Kekurangan fasiliti ini menyebabkan pendidikan muzik tidak dapat dijalankan dengan lengkap dan berkesan.

ii.                  Kompetensi Guru-guru Yang Mengajar Muzik Di Sekolah Tamil.
Peralatan untuk pendidikan muzik sampai di semua sekolah pada tahun 1983. Sekolah-sekolah Tamil di seluruh Malaysia dapat kemudahan peralatan ini. Guru-guru yang diberi latihan untuk mengajar muzik dan cara pengendalian peralatan muzik KBSR tersebut. Malangnya, kebanyakan guru-guru yang mengikuti kursus dan latihan tersebut ialah guru-guru yang tiada minat dan kemahiran asas dalam muzik. Adakalanya guru-guru yang mengikuti kursus dan latihan tersebut adalah pilihan guru besar semata-mata tanpa mengira minat.

Boleh dikatakan tiada guru-guru muzik terlatih yang ditempatkan di sekolah-sekolah Tamil. Dalam keadaan ini, ‘guru muzik beredar’ telah ditempatkan ke sekolah-sekolah Tamil untuk memenuhi kekurangan guru-guru muzik terlatih. Ini telah membawa perubahan yang besar di sekolah-sekolah Tamil. Peralatan muzik KBSR yang ‘tidur’ berdebu telah dibangunkan dan digunakan oleh guru-guru tersebut.
Daripada pengalaman saya, saya pernah lihat peralatan muzik seperti dram bes, dram tenor dan lain-lain alat perkusi masih dalam bungkusannya tanpa dipasang. Malah, di sebuah sekolah bandar yang saya menjalani latihan mengajar, kibod yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk P&P Pendidikan Muzik  masih dalam kotaknya. Oleh kerana minat dan ada kemahiran bermain kibod, sayalah orang pertama yang membuka kotak kibod tersebut  dan menggunakannya dalam P&P muzik. Pada masa itu saya sebagai guru pelatih Pengajian Tamil dan elektif muzik. 
Senario ini jelas menunjukkan kurangnya kompetensi guru-guru sekolah Tamil dalam pendidikan muzik.

iii.                Persepsi guru besar dan guru-guru sekolah Tamil terhadap pendidikan muzik.
Persepsi guru besar dan guru-guru sekolah Tamil terhadap pendidikan muzik tidak begitu menggalakkan. Pendidikan muzik dianggap mata pelajaran yang tidak penting, kerana tiada ujian atau peperiksaan rasmi yang dijalankan seperti mata pelajaran-mata pelajaran lain di sekolah. Matapelajaran-matapelajaran lain lebih diutamakan kerana diambil kira dalam keputusan peperiksaan.
      Daripada pengalaman dan pemerhatian saya, ada sekolah-sekolah Tamil yang menggunakan waktu pendidikan muzik untuk mengajar matapelajaran lain yang diadakan dalam peperiksaan. Alasan mereka ialah, pihak atasan iaitu, Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri memberi tekanan kepada mereka jika pencapaian sekolah kurang memuaskan dalam matapelajaran-matapelajaran peperiksaan. Kebanyakan guru besar dan guru-guru sekolah Tamil hanya memberi tumpuan kepada pendidikan akademik yang berorintasikan peperiksaan sahaja. Bagi mereka pendidikan akademik yang berorientasikan peperiksaan dapat menentukan status dan taraf ekonomi yang tinggi. Jadi, mereka sanggup mengabaikan pendidikan muzik yang memainkan peranan dalam membentuk modal insan.
Oleh yang demikian, pendidikan muzik tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan di sekolah-sekolah Tamil di Negara kita.

iv.                Persepsi masyarakat Tamil terhadap pendidikan muzik.
Persepsi masyarakat Tamil terhadap pendidikan muzik boleh dikatakan baik. Walaupun begitu persepsi ini dipengaruhi dan dimanipulasikan oleh guru besar dan guru-guru sekolah Tamil yang menentukan kemajuan pendidikan anak-anak masyarakat Tamil. Persepsi terhadap pendidikan pula sangat berbeza. Dimana, pendidikan amnya, dianggap sebagai batu loncatan untuk mendapatkan taraf ekonomi yang lebih baik. Bagi mereka pendidikan muzik tidak ada nilai ekonomi dalam dunia ini.
Kebanyakan masyarakat Tamil yang menghantar anak-anak ke sekolah Tamil merupakan golongan yang tidak begitu terpelajar.  Ini menyebabkan mereka hanya bergantung kepada persepsi pendidik. Walaupun begitu, masyarakat Tamil di bandar sanggup menghantar anak-anak mereka untuk mempelajari muzik. Mereka sanggup membayar guru-guru muzik diluar sekolah untuk mendapatkan pendidikan muzik.
Cendekiawan-cendekiawan dan pemimpin-pemimpin yang bijak pandai dalam masyarakat Tamil telah memberi inspirasi dan persepsi kepada masyarakat bahawa kemajuan pendidikan yang bertujuan untuk manaikkan taraf ekonomi dapat membawa kebahagian dalam masyarakat. Tetapi, mereka telah mengenepikan pendidikan muzik yang dapat membentuk nilai moral, rohani dan modal insan ini.





Rumusan
            Pendidikan muzik di sekolah Tamil tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana latar belakang masyarakat yang daif dari segi pemikiran seimbang, fahaman-fahaman yang berbeza  dan anggapan-anggapan yang salah tentang pendidikan muzik. Besar kemungkinan hujah-hujah saya akan menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan guru besar, guru-guru sekolah Tamil. Bagi mereka, saya ingin mengemukakan beberapa soalan untuk renungan bersama.
Jika benar pendidikan muzik dijalankan seperti yang dirancang oleh PPK dan dilaksanakan sepenuhnya:
1.      Mengapa tiada penglibatan  sekolah Tamil dalam aktiviti-aktiviti muzik dalam mana-mana peringkat?
2.      Mengapa tiada pancaragam di sekolah-sekolah Tamil?
3.      Mengapa tiada kelab koir di sekolah Tamil dan tiada penglibatan murid dalam pertandingan koir sekolah rendah?
4.      Mengapa persembahan di sekolah Tamil pada mana-mana majlis hanya tertumpu kepada tarian yang diiringi dengan muzik dari cd atau kaset?
Renungan ini adalah untuk memulihkan dan menambahbaik lagi pendidikan muzik sekolah Tamil di Negara kita. Adakah selama ini kita sebagai pendidik salah memimpin ‘misslead’ ataupun kita tidak sedar langsung tentang kepentingan pendidikan muzik.

No comments:

Post a Comment