Tuesday, September 18, 2012


Pertandingan Pancaragam

            Pertandingan Pancaragam yang diadakan setiap tahun di Malaysia telah memberi galakan yang positif  dalam perkembangan muzikal di sekolah-sekolah. Banyak sekolah, khasnya sekolah menengah  mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Ini menunjukkan  bahawa pihak sekolah, pelajar dan ibubapa menyedari kepentingan dan kekuatan muzik.
            Kebanyakan ‘repertoire’ yang dipersembahkan dalam pertandingan tersebut ialah muzik barat yang khasnya digubah untuk pancaragam dan lagu-lagu popular dari barat. Dalam setiap pertandingan tersebut hanya sebuah lagu tempatan yang bercorak patriotik sahaja dapat didengarkan kerana setiap kumpulan wajib bermain lagu patriotik tempatan. Walaupun terdapat banyak gubahan lagu-lagu tempatan, lazimnya jurulatih-jurulatih pancaragam memilih lagu-lagu barat. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keadaan tersebut.

Jurulatih Pancaragam
Kebanyakan jurulatih pancaragam sekolah terdiri daripada jurulatih luar yang tidak melalui latihan perguruan muzik bercorak tempatan. Mereka mahir dalam aspek muzikal seperti teknik permainan alatan pancaragam, teori-teori muzik dan kepimpinan dalam sesuatu kumpulan pancaragam. Tetapi, pendedahan dan penghayatan mereka dalam  muzik tempatan sangat kurang. Manakala guru-guru muzik yang melalui latihan perguruan mempunyai kemahiran dan pendedahan muzik tempatan yang cukup serta menyedari  identiti budaya muzik tempatan. Lebih-lebih lagi jurulatih-jurulatih ini pula tidak berani mencuba sesuatu ‘repertoire’ baru, iaitu lagu-lagu tempatan.
Kecenderungan terhadap muzik Barat
                  Oleh kerana pendidikan muzik di negara kita telah dirancang dan disusun berdasarkan model program muzik Eropah yang hanya fokuskan kepada teori, harmoni dan sejarah muzik klasikal barat, (Zaharul,2009) kecenderungan terhadap muzik barat amat ketara dalam kalangan guru-guru, ibubapa dan juga masyarakat. Ini menyebabkan muzik tempatan yang mengandungi identiti tempatan tidak dapat diperkembangkan di sekolah. Malah pihak sekolah pula menggalakkan kumpulan pancaragam memilih lagu-lagu barat untuk latihan.

Pengaruh media
            Media elektronik mempengaruhi masyarakat kini dengan adanya alat-alat komunikasi yang canggih. Kebanyakan media memaparkan budaya muzik barat daripada budaya tempatan. Pendedahan ini secara tidak langsung mempengaruhi kumpulan-kumpulan pancaragam. Visual yang dipersembahkan seperti ‘colour guide’ ialah pengaruh daripada pancaragam barat. Walaupun terdapat sedikit pengubahsuaian dalam persembahan visual tetapi tidak cukup memperlihatkan identity budaya tempatan jika dibandingkan dengan identity barat.

Kekurangan bahan
            Terdapat banyak lagu-lagu patriotik tempatan yang berentak ‘march’. Tetapi lagu-lagu tersebut masih dalam bentuk melodi dan kurang digubah semula untuk dimainkan oleh pancaragam. Malah gubahan lagu-lagu tempatan untuk ‘marching band’ kurang di pasaran berbanding lagu-lagu barat yang banyak dan senang didapati dalam pasaran. Gubahan semula lagu-lagu tempatan untuk pancaragam tidak dibukukan dan kurang. Ini adalah salah satu faktor yang menyebabkan kurangnya identity budaya tempatan  dalam pertandingan pancaragam.

            Pemimpin dalam kumpulan pancaragam atau sesuatu program muzik merujuk kepada guru yang bertanggungjawab melatih dan menjaga sesuatu kumpulan muzik instrumental. Tugas pemimpin sangat penting dalam sesuatu program muzik. Oleh itu guru yang menjadi pemimpin kumpulan instrumental patut mempunyai nilai-nilai seperti berwawasan, berfikiran terbuka, sanggup berkongsi kuasa, menjaga tingkahlaku serta kebajikan pelajar.
            Pemimpin muzik yang baik ialah pemimpin yang menjadi ‘role model’ kepada pelajar. Jadi pemimpin muzik patut ada pengetahuan yang baik dalam permainan alat muzik. Iaitu pemimpin itu sendiri adalah pemuzik yang mahir bermain alat muzik. Dengan itu pemimpin dapat menunjuk cara bermain yang betul kepada pelajar-pelajarnya. Disamping itu pemimpin juga dapat mempermudahkan kaedah atau teknik bermain alat muzik.
            Selain itu, pemimpin harus mempunyai tingkahlau yang baik seperti menepati masa, menepati jadual latihan, mengikut etika persembahan dan berdisiplin dalam sesi latihan dan persembahan. Pemimpin juga mestilah tegas semasa sesi latihan supaya pelajar dapat mempelajari dan membuat persembahan yang baik.
            Pemimpin muzik mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dalam menjaga kebajikan pelajar. Jadi, pemimpin harus tahu akan setiap pelajar dengan baik dan peka terhadap masalah yang dihadapi oleh ahli-ahli kumpulan instrumental. Pemimpin juga patut tahu serba sedikit tentang latarbelakang pelajar supaya dapat menyelesaikan masalah pelajar dengan mudah.
            Pemimpin harus mempunyai sikap terbuka dan apresiasi yang tinggi serta tahu tentang semua jenis genre muzik seperti muzik klasikal, etnik, pop dan muzik dunia. Pemahaman dan penghayatan muzik tersebut  dapat membantu dalam pengajaran sesuatu karya muzik baru yang akan dipersembahkan. Pemimpin juga harus peka terhadap perkembangan muzik semasa supaya tidak ketinggalan dalam arus muzik zaman moden ini.
            Pemimpin harus mempunyai sikap bekerjasama yang baik dengan guru-guru, pentadbir, ahli-ahli muzik dan semua orang yang terlibat dalam program muzik contohnya dalam menentukan masa untuk latihan. Ia dapat membantu dalam menjayakan sesuatu kumpulan instrumental. Selain itu, pemimpin mesti sanggup berkongsi kuasa dengan guru-guru atau jurulatih-jurulatih luar yang ditugaskan untuk melatih kumpulan instrumentalnya.


            Pendidik muzik baru harus mempelajari dan mempunyai pengetahuan tentang semua aspek sejarah muzik, teori dan analisis, komposisi, teknik-teknik latihan dan perkembangan kurikulum muzik semasa. Kesemua aspek tersebut sangat penting untuk seorang pendidik muzik menjadi sempurna dan berkebolehan dalam pengajaran dan pembelajaran muzik instrumental di sekolah.
            Kekurangan aspek-aspek tersebut dalam kalangan pendidik muzik menyebabkan pengajaran dan pembelajaran muzik tidak  berjaya dan tidak tercapai dalam kelas. Malah, kekurangan tersebut menyebabkan guru muzik tidak lengkap dan tidak menepati keperluan muzikal yang dikehendaki.
            Pengetahuan aspek sejarah muzikal penting dalam menjadikan seorang pendidik muzik menghayati sesuatu karya dari segi latarbelakang karya itu dicipta, stail muzik sezaman dan budaya muzik sesuatu zaman tersebut.
            Bentuk dan analisis muzik penting untuk mengetahui serta memahami ayat-ayat muzik seperti frasa, permulaan, kadens, pergerakan harmoni dalam sesuatu karya muzik. Ia juga penting dalam mempersembahkan karya tersebut mengikut ‘mood’ tertentu. Ini membantu untuk membentuk gambaran yang baik tentang karya tersebut.
             Secara langsung, pengetahuan ini memudahkan guru dalam pengajaran bermain alat muzik mengikut skor dengan memperdengarkan tonality, timbre dan personality sesuatu karya. Selain itu, guru muzik juga perlu mempelajari dan mengetahui aspek komposisi supaya mempermudahkan untuk senang bermain, Seterusnya, pengetahuan komposisi membantu guru menggubah sendiri dan membuat gubahan semula untuk keperluan pelajar.
            Tambahan pula, teknik-teknik latihan muzik merupakan satu kemestian untuk pendidik muzik. Tanpa teknik yang betul tidak akan keluar bunyi atau muzik yang dikehendaki. Oleh yang demikian, seorang pendidikan muzik mesti mempelajari kemahiran bermain alat muzik atau sekuarang-kurangnya tahu akan cara bermain dengan teknik yang betul untuk melatih pelajar-pelajarnya.
            Pendidikan atau kurikulum muaik berkembang dari masa ke semasa. Oleh itu, pendidik muzik patut mempelajari setiap perkembangan kurikulum muzik semasa. Dalam erti kata lain seseorang pendidik muzik perlu ‘up to date’ dengan pengetahuan kurikulum muzik dan perkembangan muzik semasa supaya tugas yang diamanahkan dapat dijalankan dengan baik dan sempurna. Aspek ini boleh diperolehi dengan pembacaan yang luas supaya dapat mencapai objektif, tujuan dan kemahiran dalam pendidikan muzik.


            Pendidik muzik di sekolah kurang menyerlah dalam melatih ‘wind orchestra’ jika dibandingkan dengan jurulatih luar kerana beberapa faktor.
            Guru di sekolah terpaksa menurut keperluan sesebuah sekolah dengan mengajar matapelajaran lain selain daripada matapelajaran muzik. Muzik ialah subjek yang memerlukan penglibatan dan tumpuan secara berterusan daripada subjek-subjek lain. Oleh yang demikian, masa berjumpa dengan ahli-ahli orkestra adalah terhad. Lebih-lebih lagi guru dibebankan dengan kerja-kerja selain daripada opsyen atau major mereka. Contohnya guru opsyen atau major dalam muzik mengajar sejarah, geografi, bahasa Melayu dan sebagainya. Jurulatih luar pula tiada beban kerja lain atau mengajar matapelajaran lain seperti guru di sekolah. Mereka adalah guru muzik sepenuh masa. Manakala, guru-guru di sekolah mengajar muzik seolah-olah seperti kerja sampingan atau ‘part time’! Mereka berpeluang berjumpa dengan ahli-ahli orchestra lebih kerap atau lebih lama berbanding guru di sekolah.
            Pihak pentadbir sekolah memainkan peranan penting dalam situasi ini. Pentadbir sekolah lebih mementingkan pencapaian akademik semata-mata. Oleh yang demikian, pemilihan ahli-ahli orkestra adalah terhad kepada pelajar tingkatan dua dan tingkatan empat sahaja. Pelajar-pelajar lain yang berkebolehan bermain alat muzik di tingkatan tiga dan lima dilarang oleh sesetengah pentadbir kerana mereka dalam kelas peperiksaan. Faktor ini menyumbangkan kepada kualiti muzik dalam ensembel wind orkestra. 
            Sikap dan minat sesetengah guru pun mempengaruhi dalam pencapaian orkestra. Sikap tidak bersungguh-sungguh dalam aktiviti latihan menjadi faktor kelemahan sesebuah orkestra sekolah. Kebanyakan guru beranggapan bahawa sekadar mengambil bahagian dalam pertandingan sudah pun memadai kerana lebih mementingkan kehendak-kehendak persendirian. Manakala, jurulatih luar pula berutngkus lumus melatih pelajar kerana itulah mata pencarian mereka.

            Adakalanya guru-guru yang lebih minat dalam orkestra diketepikan atau kurang diberi galakan  oleh pihak pentadbir kerana beranggap jurulatih luar lebih berkaliber dan berkebolehan dalam melatih pelajar  orkestra. Kadang-kadang pihak pentadbir membuat keputusan yang tidak betul dalam pembahagian tugas ko-kurikulum. Guru-guru yang berminat dalam muzik tidak diberi tugas untuk menjaga kumpulan orkestra. Tugas tersebut diberi kepada seorang guru yang tidak berminat dan tidak mengambil peduli langsung tentang orkestra.
            Malah, ada segilintir guru muzik tidak dapat bekerjasama dengan jurulatih dan berkongsi kuasa. Mereka sanggup menyingkirkan jurulatih luar semata-mata henadak menunjuk-nunjuk kerana sudah memerolehi ijazah dalam muzik. Sikap sebegini tidak patut ada pada seorang guru yang inginkan pelajar-pelajar orkestra sekolah mendapat ilmu dengan jayanya.
            Kesimpulannya, jurulatih luar dapat melatih orkestra dengan sempurna kerana mereka menghabiskan  masa (contact time ) yang banyak dengan pelajar-pelajar dan masa kerja tidak diganggu oleh tugas-tugas dan subjek-subjek lain seperti guru-guru di sekolah.       

    Ariputhiran Narayanan            

1 comment:

  1. Casino de Spa and Dining | Dr.MCD
    파주 출장샵 en › restaurants 아산 출장샵 › chipotle › en › restaurants 보령 출장안마 › chipotle Chipotle 강릉 출장샵 Chipotle. Chipotle-style Habanero salsa. Chipotle-style Habanero salsa. Chipotle-style 목포 출장샵 Habanero salsa. Chipotle-style Habanero salsa.

    ReplyDelete